Setinggi angkasa dan kapsul Soyuz
Mengangkasa Tamadun Bangsa.
Sedapkan bunyinya? Yay! Kalau tidak silap saya, persidangan UMNO baru masuk hari kedua (betulkan saya jika tersilap). Tetapi mereka sudah datangkan idea sehebat itu. Agaknya berapa lama masa yang mereka peruntukkan untuk mencetus konsep ‘Mengangkasa Tamadun Bangsa’? Saya tanya kerana saya suka. Suka kerana daripada nama konsep saja saya dapat membayangkan sesuatu yang tinggi, hebat dan di luar imaginasi saya. Kalau ikut bahasa mudah orang kampung – ia luar biasa.
Kata Datuk Seri Najib, orang Melayu bukan hanya perlu setakat mengANGTARABANGSAkan kaum Melayu, tetapi juga PERLUlah mencapai tahap kejayaan yang LEBIH tinggi, yang MELANGKAUI sempadan pencapaian biasa untuk memBINA (serta meWUJUDkan) bangsa yang dikenali sebagai BANGSA angkasa.
Bangsa angkasa atau space nation adalah bangsa yang sentiasa mempunyai impian tertinggi.
Bangsa angkasa mempunyai tamadun yang hebat. Oleh itu, tamadun bangsa Melayu dan bangsa Malaysia akan terus kita angkasakan1.
Seronok! Kalau saya berada di persidangan itu, tentu hati saya terbakar. Terbakar dek semangat berkobar-kobar untuk membina bangsa angkasa, yang martabatnya akan diangkat tinggi seantero dunia.
Tetapi, persoalannya, sejauh mana? Sejauh mana kita akan berjaya melaksanakan misi mengangkasa bangsa kita ini? Kita gali sains dan teknologi, kita miliki ilmu dan pengetahuan, kita kuasai pelbagai bahasa, kita jana ilmu, kita kukuhkan iman, kita amal budaya cemerlang dan kita bercita-cita SETINGGI angkasa2. Tetapi realitinya, boleh kah Melayu kita realisasikan semua itu? Dengan pelbagai karenah birokrasi, masalah korupsi, double-standard, cakap tak serupa bikin, angan-angan Mat Jenin, mengutama perkara yang tidak utama atau dengan masalah ekonomi rakyat yang semakin sempit, sejauh mana? Hei hei, sekurang-kurangnya jangan lah biarkan kaum lain ketawakan Melayu. Susah tu, malu kita nanti ‘tok.
Ya! Kata saja lah yang saya tidak percaya dengan orang Melayu atau pandang rendah dengan orang Melayu. Tapi, konsep minda kelas pertama pun kita belum capai. Minda saya sendiri belum berjaya lagi mencapai tahap kelas pertama, barangkali kerana saya ni kolot, konservatif. Angkasawan Melayu Islam Malaysia pula hanya baru seorang dihantar ke angkasa, itu pun kita cuma menumpang saja. Tetapi minda adik-adik di sekolah rendah telah mula dikaburkan dipromosikan dengan cita-cita setinggi angkasa. Tidak ada lagi yang mahu jadi doktor, mahu jadi peguam, mahu jadi arkitek atau jurutera. Semua adik-adik di sekolah rendah dah pasang cita-cita mahu jadi angkasawan. Satu cita-cita yang dulunya adalah mustahil.
Begini lah ‘tok. Kita laksanakan dulu apa yang kita mampu, yang kita terdaya. Kalau dulu, kita bermimpi untuk menghantar orang Malaysia ke angkasa, kini mimpi tu sudah tercapai. Tapi kalau mahu melangkaui sempadan pencapaian biasa, mari, kita bina pusat angkasa kita sendiri. Kita naikkan sistem pendidikan kita ke taraf dunia. Kita realisasikan mimpi kita mahu ada sistem pendidikan taraf dunia itu. Kita pulihkan dan bersihkan sistem pentadbiran semua peringkat, dari kelab catur di sekolah sehingga kelab UMNO luar negara. Biar kita laksanakan misi untuk melangkau sempadan pencapaian biasa mengikut keutamaan kita.
Dalam perkara lain yang berkaitan pula, kononnya kerajaan Rusia ada menawar Malaysia untuk membeli kapsul Soyuz, kapal yang dinaiki (baca: ditumpangi) oleh angkasawan negara kita. Satu saja terlintas di fikiran saya — WOW!!
Saya percaya jika kita membeli kapsul Soyuz itu, ia akan membakar semangat anak-anak muda untuk menjadi angkasawan negara. Orang ramai boleh melihatnya dari dekat selain cuba menaikinya – Datuk Seri Jamaluddin Jarjis3.
Kata saya — Yeah, right!!! Beli nak kasi orang ramai tengok, cuba-cuba naik, dan lepas tu, buat pekasam? Kan aku baru je tulis entri semalam; dana untuk menaik taraf sistem pendidikan kononnya tidak ada, tidak cukup, tapi ada pula rancangan untuk membeli kapsul Soyuz. Adoi, what dee??! Kadang-kadang saya rasa macam Malaysia ini seakan-akan dieksploitasi pula oleh Rusia4. Dieksploitasi atas sikap Malaysia sendiri yang sangat suka bangga lebih-lebih, dan terlalu seronok dengan kejayaan yang satu itu.
Baik, bawa isu beli kapsul ini masuk kabinet. Tetapi JANGAN, jangan kau katakan pada aku, yang MEREKA mahu dan akan BELI kapsul itu! AKU BANTAH! (Walaupun aku belum layak bayar cukai lagi!).
Nota tapak kaki:
Yang menjadi lelucon pula, mendengar (baca: membaca) perkataan ‘mengangkasa’ tu membuat saya rasa ia begitu berkait dengan kejayaan Malaysia menghantar seorang pelancong angkasa (baca: angkasawan negara). Sekarang ni, semua yang kita lakukan, mesti akan dikaitkan dengan kejayaan Malaysia baru-baru ini, kan?? Tak ada yang tak angkasa-nya. Entri aku pun berkait pasal angkasa. Ceh! Tipikal!
- Rujuk Mengangkasa bangsa — Ke arah tingkatkan Melayu melampaui pencapaian biasa [↩]
- “Kita perlu menggali sains dan teknologi, memiliki pengetahuan dan kemahiran, menguasai pelbagai bahasa, menjana ilmu, mengukuhkan iman, berbudaya cemerlang dan bercita-cita setinggi angkasa,” – Datuk Seri Najib Tun Razak [↩]
- Rujuk Malaysia ditawar beli kapsul Soyuz [↩]
- Penafian: Ini hanyalah anggapan saya saja. Tidak lebih dari itu. Dikemaskini 6 Nov 2007 1639 [↩]