Blog FaWaRi dotNET

Malaysia 43

with 3 comments

Entri berkait: Kemerdekaan 49

Selamat Ulangtahun Malaysia yang ke 43~!

Membelek kembali sejarah kita tahu pada tarikh 16 September 1963, Malaysia terbentuk daripada gabungan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan juga Singapura. Ini juga bermaksud bahawa sebelum tarikh tersebut, Malaysia tidak wujud sama sekali. Jika demikian, apakah kemerdekaan yang kita sambut pada setiap 31 Ogos setiap tahun? Menurut sejarah juga, sehingga 31 Ogos 1957 yang wujud hanyalah Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya mencapai kemerdekaan pada tarikh tersebut melalui delegasi Tunku Abdul Rahman ke London. Pada ketika itu Sabah dan Sarawak masih lagi dibawah pemerintahan British.

Pada 1961, idea pembentukan Malaysia dicadangkan oleh Tunku Abdul Rahman melalui gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura dan Brunei. Bagaimanapun, Kesultanan Brunei terpaksa menarik diri selepas mendapat tentangan daripada sebahagian rakyatnya. Kemudian Malaysia diistyiharkan melalui gabungan negara-negara kecuali Brunei dan Tunku Abdul Rahman dengan rasmi menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama. Atas beberapa sebab, Singapura menarik diri dari Malaysia dan merdeka secara rasmi pada 9 Ogos 1965.

Inilah yang saya cuba katakan. Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia telah merdeka pada 31 Ogos 1957 manakala Sabah dan Sarawak merdeka secara rasmi pada 16 September 1963 sekaligus membentuk kelahiran Malaysia melalui gabungan Tanah Melayu (Semenanjung Malaysia)-Sabah-Sarawak-Singapura. Dan ia juga memberi jawapan kepada soalan saya dalam entri sebelum ini.

Seringkali saya cuba menguji kawan-kawan dengan soalan sedemikian. Rata-ratanya memberi jawapan sama iaitu “kemasukkan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia”. Jawapan itu adalah tidak tepat kerana Malaysia tidak wujud sehinggalah 16 September 1963. Jawapan kepada soalan tersebut adalah tarikh tersebut merupakan tarikh pembentukan Malaysia.

Jika disemak dalam buku Sejarah KBSM (tingkatan 3) yang lama (sebelum tahun 2002 & 2003), jika tidak silap saya ada menyatakan sebab mengapa Tunku Abdul Rahman mahu Sabah dan Sarawak turut sama-sama dalam pembentukan Malaysia. Ia dikatakan untuk mengimbangi jumlah penduduk berbangsa Cina yang lebih ramai di Singapura. Jadi anda tahu mengapa saya agak sensitif jika ada yang menyatakan Sabah dan Sarawak masuk ke dalam Malaysia. Dalam karangan bahasa Melayu, penggunaan perkataan yang salah akan menjejaskan maksud keseluruhan ayat.

Terima kasih kepada Malaysia~ Semoga kita akan terus merdeka!

Written by WaWa

September 16th, 2006 at 11:09 am

Posted in Malaysia