Kemenangan yang (sudah) dijangka
Saya ada buat “open promise” kat Twitter, yang kalau DSAI menang dalam by-election ni, saya akan update fawari.net. So, kenalah tepati janji. Entri ini sangat panjang, sila bancuh secawan dua kopi sebelum mula membaca entri ni. Kalau tak minum kopi, bancuh teh tarik.
1. Bukan susah untuk mengagak sebenarnya siapa yang akan memenangi by-election Permatang Pauh. Sebaik saja Dr Wan Azizah meletak jawatan untuk memberi laluan kepada DSAI, dan ketika BN masih mencari-cari calon sesuai untuk bertanding menentang DSAI, seluruh rakyat Malaysia sudah pun boleh mengetahui siapa yang akan menang.
2. Sewaktu BN mengumumkan Arif Shah sebagai calon BN, bukan Ezam, bukan Datuk Pirdaus Ismail atau penama-penama lain, BN sudah pun kalah pada waktu itu. Sebagai orang luar, saya tidak kenal Arif Shah. Beliau tidak popular di luar Permatang Pauh. Maka tidak melampau kalau saya katakan populariti beliau hanya meningkat bila diumum sebagai calon. Baru orang buka mata, baru orang bertanya-tanya siapa dia Arif Shah. Bila Pak Lah katakan pemilihan Arif Shah sebagai tepat kerana rekodnya bersih, maka kita percaya saja.
3. Itu ‘kesilapan’ BN yang pertama. Barangkali jika BN memilih calon yang mesra media (baca: yang memang dah popular), mungkin BN masih ada harapan. Tapi, apabila difikirkan kembali, siapa sebenarnya yang layak menentang DSAI? Siapa sebenarnya yang kita boleh kata setaraf dengan DSAI? Mungkin kalau kita boleh pilih Pak Lah sendiri, atau Najib, the results might have been different. Or not. Kalau selama 2 penggal rakyat Permatang Pauh memilih Dr Wan Azizah, seorang pembangkang, kenapa pula kali ini mahu memilih orang kerajaan kan.
4. Politik Malaysia sejak kebelakangan ni amat nazak. Dan memalukan. Mungkin dulu bila saya ditanya tentang negara asal saya, saya akan bangga mengatakan saya dari Malaysia. Kerana saya percaya politik Malaysia adalah lebih stabil berbanding negara-negara jiran seperti Thailand, contohnya. Kerana saya percaya ekonomi negara Malaysia adalah lebih baik berbanding Indonesia, dan taraf hidup rakyat Malaysia (walaupun masih terdapat penduduk miskin) rata-ratanya boleh dibanggakan.
5. Tetapi sekarang ni, perasaan bangga terhadap Malaysia itu makin luntur. Saya admit saya sudah kurang membaca berita-berita terkini luar negara, tetapi saya selalu menganggap isu politik semasa Malaysia pasti ada dilaporkan di dada-dada akhbar di sini, atau sekurang-kurangnya di BBC. Membayangkan dunia aware dengan situasi politik di Malaysia sama seperti mereka sedia maklum situasi politik di negara-negara jiran Malaysia seperti Thailand, atau di negara timur tengah, menyebabkan rasa malu tertanam dalam diri saya.
6. Tidak ada rakyat Malaysia yang tidak akan mengakui betapa perkembangan politik Malaysia berada di tahap yang tenat. Pelbagai isu diketengahkan oleh kedua-dua pihak untuk memburukkan masing-masing. Agama Islam sendiri menjadi mangsa dalam perlawanan antara kerajaan dan pembangkang. Undang-undang juga dipandang begitu remeh seakan-akan ia tidak memberi makna langsung kepada semua pihak.
7. Belum selesai dakwaan kes liwat, si penuduh mengambil keputusan untuk membuat sumpah laknat, dengan mendakwa kononnya berbuat demikian setelah mengambil kira pandangan dan nasihat para ulama. Hari ini Majlis Fatwa sendiri telah menegur tindakan tersebut serta meminta semua orang mengambil pengajaran daripada peristiwa itu. Ini sekaligus membuktikan agama dan undang-undang bukan perkara yang boleh diperlekehkan.
8. Sumpah laknat yang dibuat Saiful bagi saya secara peribadi telah menganggu pelaksanaan undang-undang dan terlalu terburu-buru. Apabila laporan polis sudah dibuat, siasatan pun sudah dijalankan, keputusan membuat sumpah laknat pada masa ini adalah tidak matang. Ia seolah-olah memaksa rakyat menjadi juri dan mengeluarkan verdict bertentangan dengan si tertuduh. Ia juga seolah-olah menidakkan keupayaan mahkamah untuk melakukan perbicaraan yang adil dan saksama. Ada juga yang mempersoalkan timing sumpah laknat itu dibuat. Ada juga yang mendakwa ia adalah mainan/taktik politik. Mungkin. Siapa tahu.
9. Ketika kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh masih berjalan, kabinet (tergesa-gesa) mengumumkan penurunan harga petrol 15 sen. Betulkan saya jika saya tersilap, tetapi beberapa hari sebelum pengumuman itu saya ada terbaca laporan akhbar yang mengatakan Pak Lah akan mengumumkan penurunan harga minyak pada bulan September. Mungkin ia terlalu kebetulan apabila beberapa hari selepas itu pengumuman harga petrol turun 15 sen pun dibuat. Bukan kita tidak alu-alukan keputusan kabinet untuk mempercepatkan penurunan harga minyak, tetapi kerana kita tidak mungkin boleh mengukur sejauh mana keikhlasan dan keprihatinan kabinet terhadap isu ini, maka yang tinggal hanyalah mempersoalkan timing kelulusan itu. Ia…, ia terlalu kebetulan.
10. Hanya dengan sekali pandang saya (dan berjuta rakyat Malaysia yang lain) membuat andaian pengumuman ini dibuat ada kaitan dengan pilihanraya kecil Permatang Pauh. Barangkali ini salah satu taktik yang (terpaksa) dibuat BN untuk memancing undi rakyat. BN mungkin tidak sedar dengan menurunkan harga minyak kepada RM2.55 seliter pada saat-saat genting seperti ini hanya mengesahkan bahawa mereka sudah terlalu desperate, dan sanggup melakukan apa saja samada dalam usaha untuk memulihkan kepercayaan rakyat atau mengaut undi di Permatang Pauh.
11. Saya tidak mahir matematik, saya tidak pakar ekonomi, tetapi penurunan 15 sen boleh dikatakan masih membebankan rakyat. Hentam saya dan katakan saya tidak pandai bersyukur atas penurunan sebanyak 15 sen itu. Kerajaan pun boleh ugut untuk tidak memberikan rebet minyak pada masa hadapan tetapi beritahu saya, adakah 15 sen itu memberi perubahan ketara kepada taraf hidup rakyat? Saya rasa tidak. Malah sungguh ironi bila Pak Lah menegur dengan mengatakan: “Janganlah cepat nak bagi naik, nak bagi turun pun cepat-cepatlah juga“. Rasa-rasanya, dulu kita pernah memberi expression yang sama kepada kerajaan. Kita tengoklah berapa lama harga minyak RM2.55 seliter itu bertahan.
12. Parlimen Malaysia mulai rabu ini akan berubah. Kehadiran DSAI dalam parlimen jika tidak memeriahkan, boleh menghuru-harakan parlimen yang mulia itu. Sedangkan tanpa kehadiran beliau pun parlimen itu boleh jadi huru hara. Agaknya dengan kehadiran DSAI, boleh berlaku amuk di sana, siapa tahu. Tidak mustahil ahli-ahli parlimen dari BN masing-masing mahu tunjuk belang, mahu tunjuk mereka berani berdepan dengan DSAI, terutama ahli parlimen Rembau dan ahli parlimen Kinabatangan tu. Mungkin Kementerian Penerangan boleh mempertimbangkan untuk memanjangkan tempoh siaran langsung di Parlimen kepada satu jam. Jika ini boleh dilakukan, rating RTM sudah tentu naik. Saya percaya, siaran ini lebih bagus dari mana-mana rancangan realiti di Malaysia.
13. Selepas ini, PKR hanya ada lebih kurang 3 minggu saja lagi sebelum 16 September, tarikh yang kononnya didakwa akan berlaku peralihan kuasa kerajaan. Jika pilihanraya kecil Permatang Pauh terlalu mudah untuk diramal, ini adalah sebaliknya. Ia hampir mustahil untuk direalisasikan. Saya juga tidak pasti samada rakyat Malaysia sudah bersedia sepenuhnya untuk menerima sebuah kerajaan baru. Benar rakyat telah membuktikan bahawa mereka lah yang berkuasa untuk memilih kerajaan yang boleh bekerja untuk mereka, tetapi perubahan ini terlalu besar untuk Malaysia. Jika ia berlaku, sejarah akan tertulis untuk selama-lamanya. Bagaimanapun, dengan memandang kepada keadaan politik sekarang, apa pun boleh terjadi. Jika betul 16 ahli parlimen dari Sabah akan lompat parti, maka akan terlakar buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia diperintah oleh kerajaan bukan Barisan Nasional.
14. PAS dan DAP sudah memberi ‘restu’ kepada DSAI untuk menjadi Perdana Menteri. Bukan saja sejarah akan tercatit bahawa peralihan kuasa telah (pernah) berlaku, tetapi juga buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia akan mempunyai seorang bekas banduan berprofil tinggi1 sebagai Perdana Menteri. Filipina mungkin pernah mempunyai seorang pelakon sebagai Presiden, dan US juga berkemungkinan akan menerima seorang African-American sebagai Presiden, tetapi untuk mempunyai seorang perdana menteri yang dulunya pernah meringkuk di dalam penjara kerana tuduhan liwat… adalah begitu extraordinary. Dan itulah (hakikatnya) barangkali yang akan kita semadikan dalam buku sejarah untuk tatapan generasi akan datang.
15. Saya tidak pernah dapat membayangkan bagaimana Malaysia akan diperintah oleh kerajaan selain Barisan Nasional tetapi saya juga tidak pernah dapat berharap bahawa jika Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan things would be different. Tidak salah kita menganggap kemenangan DSAI di Permatang Pauh sebagai satu harapan baru untuk Malaysia (provided yang DSAI akan berjaya menjadi PM baru), malah saya juga sejujurnya berdoa untuk merasai memiliki harapan sebegitu. Saya percaya kita semua mahu yang terbaik untuk Malaysia, tetapi buat masa sekarang, kita go with the flow, tunggu dan lihat saja. Jangan letakkan harapan yang terlalu tinggi. After all, politics is a very dirty business.
Footnotes:- Gelaran ini tidak bermaksud untuk mencaci keluarga, sahabat handai, rakan taulan kepada DSAI. Saya juga tidak berniat untuk memandang rendah kepada mana-mana bekas banduan, saya percaya semua orang berhak diberikan peluang kedua [↩]