Sejuk Sangatkah Cakap Bahasa Penjajah?
Ini entri khas sempena menyambut hari Kemerdekaan 50 nanti.
Tajuk di atas adalah pengolahan semula daripada status YM seorang kawan, err.. beberapa hari lepas. Sebenarnya saya ada buat cetak skrin YM, tapi kalau letak sini dan baca sepenuhnya ayat status tersebut, err.. entri yang sepatutnya jadi perbincangan aman, boleh jadi emosi nanti. Hehe.
Semua orang tahu, bahasa penjajah adalah bahasa Inggeris yang kita, rakyat Malaysia, agung-agungkan. Bahasa penjajah adalah bahasa orang putih yang pernah menjajah kita lama dahulu, sebelum akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957 dan Kepulauan Borneo pada 1963. Kalau dulu kita pernah tolak penjajahan, kita tak mahu dijajah, kita mahu tadbir negara sendiri dan kita mahu negara kita jadi hak kita. Seratus peratus kita tolak sebarang bentuk penjajahan.
Tapi hari ini, bahasa penjajah itulah yang kita bangga-banggakan. Kononnya tak sejuk kalau cakap bahasa Melayu, kononnya cakap bahasa Melayu susah, kononnya lebih senang guna bahasa Inggeris untuk melahirkan perasaan dan kononnya bahasa Melayu ini kadang-kadang lebih kasar. Dan kononnya juga kalau kita tak praktik bahasa Inggeris, kita takkan maju sampai bila-bila.
Iya kan?
Maka, kita berbalik kepada persoalan di atas. Sejuk sangatkah cakap bahasa penjajah ni? Apa masalahnya sampaikan kita
tak mahu berbangga dengan bahasa kita sendiri?
Tidak. Saya tidak menolak perlunya kita mengetahui bahasa Inggeris. Ia bahasa pengantar antarabangsa. Tiada siapa yang nafikan betapa perlunya bahasa Inggeris. Iya lah, tak kan lah kalau saya ke restoran Itali, tapi kemudian bertutur dalam bahasa Melayu. Gila kah apa? Nanti lain yang saya pesan, lain pula yang saya dapat. Tambahan, orang gila pun cakap Inggeris juga, jadi, apa yang bagusnya?1.
Cuma, penggunaan bahasa Inggeris pun biarlah berpada-pada. Saya memang cukup berasa hampeh kalau masuk restoran yang kononnya berprestij, orang Melayu yang ambil pesanan, tapi masih nak cakap Inggeris. Macam tak kena pula kan? Bila dah sama-sama Melayu, biarlah cakap Melayu. Lebih afdal bukan? Tengok contoh orang Cina. Sama-sama Cina, diaorang akan cakap Cina tau! Sejuk je~ Tak ada masalah pun. “Atas permintaan je Inggeris tu”2.
Entahlah…
Baik. Pada ketika saya merancang-rancang untuk tulis entri ni dua malam yang lepas, saya dah merangka isi-isi yang tidak kelihatan berat sebelah. Malangnya, akibat tidak mencatit isi-isi tersebut, saya pun dah terlupa ia berterbangan ke mana. Entri ini jelas berat sebelah, tapi, beritahu lah saya, apa pula pendapat anda.
Err… anda digalakkan menulis pandangan anda dengan tulisan bahasa Melayu penuh.