19
berikan Siti kehidupannya
Published by WaWa, under Selebriti. No Comments.
Esok hari bersejarah Siti Nurhaliza. Selepas ijabkabul, sahlah penyanyi Siti Nurhaliza menjadi isteri kepada ahli korporat, Datuk K. Kemudian apa saja kata-kata yang terhambur daripada mulut orang ramai atau peminat sekalipun, cukuplah dan hentikan. Doakan Siti berbahagia hingga keakhirnya, dan berikan Siti kehidupan yang sepatutnya menjadi miliknya.
Pada masa yang sama, bekas isteri Datuk K bersama ketiga-tiga anaknya berlepas ke Melbourne. Sebagaimana dilaporkan media, beliau pergi untuk bercuti dan mencari ketenangan. Saya kasihan melihat wanita ini. Penceraian berlaku kerana tidak lagi ada persefahaman. Tetapi sebagai suami isteri yang sudah tinggal bersama selama 20 tahun dan mempunyai 4 orang anak lelaki yang sudah besar sudah tentu telah melalui pelbagai rintangan dan dugaan hidup berumahtangga. Jika selama 20 tahun, mereka boleh bersama-sama menempuh segala dugaan kenapa tidak dicari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan apa jua masalah yang timbul diantara mereka. Umum mengetahui penceraian adalah jalan paling akhir dan amat tidak digalakkan dalam islam. Mengapa kali ini dengan mudah cerai merupakan jalan yang dipilih.
Tetapi kita ini orang luar. Jika ini sebuah drama, kita adalah penontonnya. Bezanya drama yang ditonton ini bagaikan tidak ada skrip tetap. Ia berlaku mengikut emosi, perasaan, kemahuan dan keinginan pelakon-pelakon yang terbabit. Tidak suka sekalipun jalan ceritanya, kita tidak berhak mengubah kerana yang memainkan watak adalah pelakon-pelakon. Maka sebagai penonton, kita tonton sajalah. Anda boleh membuat kritikan terhadap drama, tetapi untuk mengubah jalan ceritanya adalah mustahil sama sekali.
Perkahwinan esok pula adalah yang ditunggu-tunggu setelah sekian lama. Teka-teki siapakah pasangan hidup seorang Siti Nurhaliza telahpun terjawab. Apasaja reaksi anda mengenai pilihan Siti Nurhaliza sejak beliau mengumumkan secara rasmi lelaki pilihannya Julai lalu, seperti yang saya katakan tadi, berdoalah untuk kebahagiaannya. Hormati pilihan beliau.
Tidak perlu iri hati, dengki mendengki atau menyimpan dendam. Maka apa saja rancangan samada untuk membaling telur atau apa saja pada hari perkahwinan Siti nanti adalah perbuatan yang sungguh-sungguh tidak masuk akal. Berikan Siti kehidupannya.
Selain ribuan peminat Siti, perarakan melalui Taman KLCC ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dijadualkan 28 Ogos ini, juga dikhuatiri dihadiri golongan yang kurang senang dengan perkahwinan berkenaan.
Malah, sumber memberitahu Berita Minggu, ada segelintir pihak memang menunggu masa untuk mensabotaj perarakan berkenaan termasuk membaling telur busuk bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkahwinan itu.

The berikan Siti kehidupannya by FaWaRi dot net, unless otherwise expressly stated, is licensed under a Creative Commons Pengiktirafan-Bukan komersial-Perkongsian Serupa 2.5 Malaysia License.