Blog FaWaRi dotNET

Dibayar untuk belajar

without comments

Beberapa hari lepas saya ada tulis tentang kawan saya dari Yemen yang akan berkahwin dengan tunangnya bulan Julai ini. Semalam saya keluar dinner bersama dengan kawan saya itu dan juga dua rakan lain, masing-masing dari Saudi dan Mali. Restoran pak Arab menjadi pilihan. Hoho.

Sementara tunggu hidangan, kami bercerita tentang isu kahwin awal ni. Malian kata, kalau kahwin awal tak merasalah si lelaki untuk keluar dengan kawan perempuan lain. Yemeni bantah dan katanya, kalau orang muda sekarang ni bercinta di universiti dengan pasangan masing-masing, begitu jugalah yang dipraktikkannya. Cuma bezanya dia bercinta dengan isteri sendiri. Masing-masing bertelingkah dengan pendapat sendiri, dan bila Malian mengatakan, nak kahwin mesti ada duit. Belajar pun tak habis lagi, nak kahwin pula.

Yemeni ketawa dan berikan satu pendapat. Katanya:

Belajar itu adalah satu pekerjaan. Saya dibayar oleh bapa saya untuk belajar. Kemudian apabila tamat pengajian, saya akan bekerja dengan bapa saya. Pada masa itu, saya akan dibayar pula untuk pekerjaan yang saya lakukan di syarikat bapa saya.

Saya diam, Malian pun diam (Si Saudi ni memang diam aje dari mula). OK, saya kemudian membuat kata putus. Kata saya, poin diterima kerana ada logik disitu. Bukan tak mahu meneruskan perbincangan, cuma kadang-kadang kita kena terima sajalah pendapatnya. Kerana selain daripada pendapat kita yang berbeza-beza, budaya kita juga tentulah tidak sama. Jika saya membantah, nampak seperti saya tak hormat kepada budaya mereka. Kalau di Malaysia, mungkin tak ramai yang mempraktikkan teori begitu.

Bercakap tentang budaya, kata Yemeni, di Saudi wanita tidak dibenarkan untuk memandu. Ada 2 sebab. Pertama, jika wanita memandu, pemandu-pemandu lelaki akan cuba menakut-nakutkan pemandu wanita seperti melanggar sipi-sipi secara sengaja atau beramai-ramai mengejar kereta pemandu wanita. Psiko juga lelaki kat Saudi nih. Kedua, kerana Saudi Arabia adalah sebuah negara Islam. Sebab kedua pada saya memang tidak boleh diterima. Saya katakan, wanita memandu langsung tiada kaitan dengan agama. Kali ni emosi sikit sebab saya kan pemandu wanita yang berprestij. Hehe. Tetapi Yemeni dan Saudi ni hanya mampu mengatakan Saudi merupakan tumpuan dunia Islam di mana terletaknya Mekah, selain ia adalah sebuah negara Islam. Mereka tak mampu pun beri jawapan kepada saya apa kaitannya wanita tidak dibenarkan memandu di sana dengan Saudi sebagai negara Islam. Yang membuatkan saya tutup topik tanpa penjelasan adalah kerana Yemeni mengatakan: “Walaupun anda juga seorang Islam, tapi budaya kita berbeza. Mungkin Malaysia tiada larangan seperti ini, tetapi di Saudi larangan ini wujud”.

Maka, kerana tidak mahu dikatakan tidak menghormati budaya orang lain, adalah lebih baik saya senyap dan menerima seadanya!

Written by WaWa

April 29th, 2007 at 1:42 am

Posted in Blog